POLIS membersihkan sekitar lokasi MPV yang terbakar di Jalan Pulau Gadong, Melaka. FOTO Ihsan Polis.
POLIS membersihkan sekitar lokasi MPV yang terbakar di Jalan Pulau Gadong, Melaka. FOTO Ihsan Polis.
Rizanizam Abdul Hamid


LELAKI ditemukan rentung selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas ke bahu jalan dan terbakar di Jalan Pulau Gadong, Melaka 4.35 pagi hari ini.

Bagaimanapun, identiti mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu masih belum dapat dikenal pasti.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, siasatan awal pihaknya mendapati MPV berkenaan dari arah Pulau Gadong menghala ke Tampin, melalui Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).

“Setibanya di lokasi berhampiran simpang masuk ke Pejabat Pertanian Pulau Gadong, kenderaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan, seterusnya melanggar sebatang pokok.

“Mangsa terbakar bersama kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasan Basri berkata, menurut maklumat awal daripada rakannya berusia 23 tahun, mangsa dikatakan keluar dari rumah kenalan itu di Tampin untuk bersiar-siar di Melaka Raya.

“Bagaimanapun kenalannya memaklumkan kira-kira 4 pagi, mangsa pulang ke Tampin berseorangan kerana mahu berjumpa teman wanitanya di sana.

“Selepas satu jam, rakannya cuba untuk menghubungi telefon bimbit mangsa tetapi tidak berjaya,” katanya memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 12:02 PM