Laporan Harian Metro semalam.
Laporan Harian Metro semalam.
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis belum lagi mengesahkan identiti ketiga-tiga mangsa rentung dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri di sini, semalam, walaupun sudah ada pihak yang tampil menuntutnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ia berikutan proses bedah siasat terhadap tiga mangsa itu hanya akan dibuat pada petang ini.

Menurutnya, setakat ini sudah ada beberapa individu yang mendakwa waris kepada mangsa berkenaan tampil menuntut mayat itu.

"Proses bedah siasat terhadap tiga mangsa itu akan dibuat petang ini dan terlalu awal bagi kita sahkan indentiti mereka ketika ini.

"Kita akan panggil individu yang tampil mendakwa waris mangsa itu bagi membuat pengecaman selepas proses bedah siasat dilakukan nanti," katanya.

Menurut Soffian, sekiranya pengecaman gagal dibuat, sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan diambil bagi pengesahan mangsa dan ahli keluarga mereka yang tampil menuntut mayat itu.

Semalam, Harian Metro melaporkan tiga individu rentung selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dan terbakar.

Dalam kejadian pada 2.50 pagi itu, kesemua mangsa rentung akibat terperangkap dan setakat ini identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 2:28 PM