- Foto hiasan
- Foto hiasan
BERNAMA

Georgetown: Wanita maut, manakala dua lelaki cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di tepi jalan dalam kemalangan di Jalan Macalister, di sini, awal hari ini.

Mangsa Foo Yu Xuan, 24, yang memandu kereta Volkswagen maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Sha'ari Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.20 pagi dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak terus ke lokasi.

"Sebaik pihak bomba tiba, terdapat sebuah kereta dipercayai terbabas telah melanggar sebatang pokok di tepi jalan dan ada tiga mangsa di dalam kenderaan terbabit.

"Kami menjalankan kerja-kerja mengeluarkan dua lelaki dan seorang wanita yang tersepit di dalam kereta itu.

"Kesemua mereka berjaya dikeluarkan pada 5.27 pagi, sebelum pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa wanita telah meninggal dunia," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat, manakala dua lagi mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 1:13 PM