keadaan Toyota Camry yang terbakar selepas terbabas merempuh pokok di Kota Tinggi, pagi tadi, - Foto Ahmad Othman.
keadaan Toyota Camry yang terbakar selepas terbabas merempuh pokok di Kota Tinggi, pagi tadi, - Foto Ahmad Othman.
Ahmad Othman


Kota Tinggi: Seorang lelaki mati rentung selepas tersepit dalam kereta dipandunya yang terbakar selepas merempuh pokok di Jalan Pintasan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, jam 4.45 pagi tadi.

Ketika kejadian, mangsa dikenali sebagai Mohd Azmi Ismail, 34, dikatakan memandu bersendirian kereta Toyota Camry menghala ke Johor Bahru.

Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya menyebabkan kereta itu terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar pokok lalu terbakar.

Jurucakap bomba berkata, kejadian disedari pengguna jalan raya lain yang kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi pada jam 4.51 pagi dan satu jentera bersama tujuh anggota yang tiba pada jam 5.04 pagi, mendapati api masih marak.

"Sebaik api berjaya dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian, anggota bomba menemui mayat mangsa di tempat duduk pemandu dalam keadaan rentung," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasatan dan menurut polis, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 6:01 PM