GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 420 individu ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam dengan 322 kompaun dikeluarkan dan 82 individu direman, manakala enam orang diikat jamin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam juga menyaksikan lima pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan sebuah kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng.

Menurutnya, selain itu, seramai 15 Pati dan empat bot/kapal turut dikesan berada di perairan negara menerusi enam aktiviti penglihatan.

Katanya, seramai 735 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, menjadikan kumulatif 253,037 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lalu.

"Mereka ditempatkan di 83 hotel serta 11 institut latihan awam termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, 9,189 individu dikuarantin dan 240,402 orang dibenarkan pulang, manakala 3,446 lagi dibawa ke hospital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, semalam, seramai 44 warga asing menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, empat orang didapati positif Covid-19.

"Pasukan Task Force Operasi Pematuhan juga melaksanakan 68,921 pemeriksaan semalam dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 18,351 orang.

"Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,556 buah kilang, 11,369 premis perniagaan, 416 tapak pembinaan dan 145 buah asrama penempatan pekerja.

"Hasil daripada pemeriksaan itu, sebanyak 25 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 7:13 PM