GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 388 individu ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam dengan 355 kompaun dikeluarkan dan 31 individu direman, manakala dua orang diikat jamin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam juga menyaksikan 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng.

Menurutnya, 383 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, menjadikan kumulatif 252,422 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lalu.

"Mereka ditempatkan di 82 hotel serta 11 institut latihan awam termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, 9,197 individu dikuarantin dan 239,846 orang dibenarkan pulang, manakala 3,379 lagi dibawa ke hospital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan juga melaksanakan 83,215 pemeriksaan semalam dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,567 orang.

"Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,970 kilang, 16,530 premis perniagaan, 1,031 tapak pembinaan dan 272 asrama penempatan pekerja.

"Hasil daripada pemeriksaan itu, sebanyak 38 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 8:29 PM