Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 337 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan, semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 332 individu dikenakan kompaun, manakala lima lagi direman.

"Pasukan Task Force operasi pematuhan turut melaksanakan 80,868 pemeriksaan terhadap kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan serta SOP.

"Hasil pemeriksaan, sebanyak 49 premis membabitkan kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup kerana gagal mematuhi SOP," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, dalam Operasi Benteng semalam pula menahan lima pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas tujuh kenderaan darat.

Selain itu, beliau berkata, seramai 735 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

"Secara kumulatifnya sejak 24 Julai tahun lalu, seramai 253,037 individu pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 77 hotel serta 10 Institut Latihan Awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,189 individu dikuarantin dan 240,402 orang dibenarkan pulang, manakala 3,446 lagi dibawa ke hospital," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya terus mengamalkan kawalan kendiri dengan kekal di rumah dan gaya hidup sihat bersama keluarga dalam lingkungan kawasan rumah sendiri.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 7:28 PM