GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Seramai 174 individu dikompaun dan sembilan direman kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sebanyak 65 premis turut diarahkan tutup serta merta kerana kegagalan mematuhi SOP.

"Tindakan itu diambil hasil pemeriksaan ke atas 16,500 premis perniagaan, 1,711 kilang, 471 tapak pembinaan dan 236 asrama penempatan pekerja.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 80,981 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP membabitkan 18,639 anggota," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, seramai 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng, semalam

Beliau berkata, dalam operasi itu, sebanyak tujuh kapal dan bot serta dua kenderaan darat dikesan melalui aktiviti penglihatan, manakala dua Pati diusir menerusi aktiviti pengusiran.

"Sementara itu, sebanyak 918 sekatan jalan raya (SJR) dijalankan semalam membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 520 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam.

Katanya, secara kumulatif, seramai 270,380 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lalu.

Hishammuddin berkata, kesemua mereka ditempatkan di 83 hotel dan 11 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara. "Seramai 9,445 individu masih dikuarantin di Pusat Kuarantin Wajib, 3,988 dibawa ke hospital (jumlah kumulatif) dan 256,947 jumlah kumulatif dibenarkan pulang setakat semalam," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membuat 949 pemantauan harian ke atas 10 jenis bekalan barangan semalam terdiri daripada 757 peruncit, 160 pemborong dan 32 pengilang.

Katanya, hasil pemantauan dan pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa KPDNHEP di peringkat peruncit serta pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil serta mencukupi.

"KPDNHEP menjalankan 2,541 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, semua premis mematuhi SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 6:48 PM