GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 254 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan, semalam.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, daripada jumlah itu, seramai 240 individu dikenakan kompaun, manakala 14 lagi direman.

"Pasukan Task Force operasi pematuhan turut melaksanakan 18,912 pemeriksaan terhadap kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama pekerja.

"Hasil pemeriksaan, sebanyak 71 premis diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Operasi Benteng menahan 23 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas enam kenderaan darat, semalam.

Selain itu, katanya, seramai 680 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

"Secara kumulatifnya sejak 24 Julai 2020, seramai 263,873 individu pulang ke tanah air dan daripada jumlah itu, seramai 10,071 individu dikuarantin manakala 3,797 lagi dibawa ke hospital manakala selebihnya dibenarkan pulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 6:32 PM