PELITUP muka. FOTO ARKIB NSTP
PELITUP muka. FOTO ARKIB NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Mengadakan rumah terbuka antara kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang direkodkan, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjur terbabit antara 550 individu ditahan menerusi Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, daripada jumlah individu ditahan itu, 532 individu dikenakan tindakan kompaun manakala 17 direman dan seorang diberi jamin.

"Kesalahan tertinggi direkodkan adalah gagal mendaftar masuk premis membabitkan 193 individu dan 122 individu tidak memakai pelitup muka.

"Kesalahan lain adalah tidak patuh arahan kawalan pergerakan (72), tiada penjarakan fizikal (57), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (4) dan lain-lain (101)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 25 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan dua kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng.

Beliau berkata, sebanyak 144 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan.

"Kementerian Sumber Manusia (KSM) turut memaklumkan 337 warga asing menjalani ujian saringan dan 10 kes positif Covid-19 dilaporkan, semalam.

"Secara kumulatifnya, seramai 695,192 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 35,986 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,294 orang disahkan positif Covid-19 manakala 684,898 lagi negatif," katanya.

Ismail Sabri berkata, seramai 673 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam.

Beliau berkata, sejak 24 Julai 2020, seramai 208,191 individu pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 68 hotel serta 11 Institut Latihan Awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 6:43 PM