GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Individu ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali meningkat apabila merekodkan seramai 420 ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 388 dikenakan tindakan kompaun manakala 32 lagi direman.

"Kesalahan tertinggi direkodkan adalah aktiviti pusat hiburan membabitkan 145 individu manakala 134 orang gagal mendaftar masuk premis.

"Kesalahan lain adalah tidak memakai pelitup muka (56), tiada penjarakan fizikal (47), rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (5) serta lain-lain (33)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 26 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan lapan kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng.

"Dalam operasi sama, sebanyak 264 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 963 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam.

Katanya, secara kumulatif sejak 24 Julai 2020, seramai 185,981 individu pulang ke tanah air dan kesemuanya ditempatkan di 75 hotel serta sembilan institut latihan awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

Sementara itu, Ismail Sabri, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 233 warga asing menjalani ujian saringan semalam, dan daripada jumlah itu seorang didapati positif Covid-19.

Beliau berkata, secara kumulatifnya seramai 689,808 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 35,597 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,233 orang disahkan positif Covid-19 manakala 679,575 lagi negatif. Sehingga kini, sebanyak 1,544 klinik terbabit program saringan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 7:33 PM