Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan antara kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang dilaporkan semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 84 individu ditahan atas kesalahan itu.

Menurutnya, secara keseluruhan seramai 495 individu ditahan semalam, dengan 468 individu dikenakan tindakan kompaun, manakala 27 lagi direman.

"Kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah gagal mendaftar masuk premis membabitkan 143 individu dan 126 individu tidak memakai pelitup muka.

"Kesalahan lain adalah tiada penjarakan fizikal (47), aktiviti pusat hiburan (15), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (8) dan lain-lain (72)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 29 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan lapan kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng.

Dalam operasi sama, katanya, sebanyak 146 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) turut memaklumkan seramai 160 warga asing menjalani ujian saringan dan sebanyak empat kes positif Covid-19 dilaporkan semalam.

"Secara kumulatifnya, seramai 694,855 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 35,962 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,284 orang disahkan positif Covid-19, manakala 684,571 lagi negatif," katanya.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata, seramai 576 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 6:41 PM