MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 513 individu ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 484 dikenakan tindakan kompaun manakala 29 lagi direman.

"Kesalahan tertinggi direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka membabitkan 185 individu manakala 105 individu gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis.

"Kesalahan lain adalah tiada penjarakan fizikal (79), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (57), aktiviti perjudian (12), aktiviti pusat hiburan (5), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (5) dan lain-lain (65)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 22 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan selain empat kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng.

Dalam operasi sama, beliau berkata, sebanyak 186 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) turut memaklumkan seramai 694,695 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 35,947 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,280 orang disahkan positif Covid-19 manakala 684,415 lagi negatif. Sehingga kini, sebanyak 1,544 klinik terbabit program saringan ini," katanya.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata, seramai 576 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam.

Katanya, secara kumulatif sejak 24 Julai 2020, seramai 206,894 individu pulang ke tanah air dan semuanya ditempatkan di 72 hotel serta 10 institut latihan awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 5:34 PM