Erma Fatima
Erma Fatima
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Balik negara kau dan selesaikan di sana. Jangan jatuhkan maruah orang dalam negara aku," kata penerbit dan pengarah handalan, Erma Fatima kepada wanita kelahiran Singapura yang mendakwa sebagai kekasih kepada Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine mengenai segala kekecohan yang dibuat di negara ini sejak minggu lalu.

Erma ketika ditemui berkata, dia amat kecewa dengan sikap wanita itu yang sudah membuka aib beberapa artis tempatan sekali gus menggesa Sarah supaya berhenti menghancurkan industri hiburan Malaysia.

"Seorang wanita yang kecewa ditinggalkan kekasih. Dia juga bukan warga negara Malaysia, masuk ke dalam negara aku kemudian buat 'kenduri selak kain' artis Malaysia dan semua orang meraikannya.

"Media sosial, pengamal media semua raikan orang luar itu sedangkan masalah dia adalah dengan artis negaranya sendiri.

"Saya sangat marah dengan tindakan yang dilakukannya. Saya faham perasaan dia yang kecewa selepas ditinggalkan kekasih selepas memberi segala-galanya tetapi jangan datang ke sini dan hancurkan industri seni Malaysia," katanya.

Erma berkata, dia juga tidak mahu pelakon tempatan, Sophia Albarakbah turut menjadi mangsa.

"Saya tidak peduli dia ada skandal atau tidak, tetapi bukan ini caranya," katanya selepas diminta komen mengenai ketiadaan Sophia pada tayangan episod akhir drama bersiri Lelaki Itu di sebuah restoran di Ampang, di sini, malam tadi.

Katanya, dia yang meminta Sophia tidak menghadirkan diri kerana tidak sanggup melihat artis tempatan terus menjadi mangsa dan diaibkan.

Menurut Erma, tindakan keterlaluan Sarah tidak sewajarnya 'diraikan' sebaliknya dia menggesa setiap individu yang menjadi sasarannya serta dimalukan di media sosial untuk membuat laporan polis serta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Ruhainies dan Sophia tolong buat laporan polis untuk hentikan dia. Anda berdua ada hak untuk melakukannya, tidak kisahlah ada skandal atau sebagainya.

"Di mana SKMM? Apa pihak kementerian lakukan untuk hentikan orang luar yang masuk dan hancurkan industri seni tanah air. Saya harap 'kenduri selak kain' ini dihentikan dan pihak SKMM lakukan sesuatu. Kita ada akta.

"Kalau mereka boleh panggil saya dan Zul Ariffin untuk siasat isu drama Perempuan Itu sebelum ini, mengapa kita tidak boleh lakukan perkara sama sekarang?

"Dia orang luar, bukan terbabit dalam industri kita. Berambus, keluar dari Malaysia dan selesaikan masalah mereka sendiri. Dua-dua bukan orang Malaysia pun, tak perlu selak kain-kain artis Malaysia," katanya.

Dalam masa sama, Erma turut memohon masyarakat tempatan untuk berhenti memberi perhatian kepada wanita itu sekali gus menggesa Aliff untuk tampil menyelesaikan isu yang berlaku dan keluar dari negara ini.

"Berhenti angkat dia dan raikan kenduri orang luar lakukan. Sebab itu saya kata pada Sophia, jangan datang.

"Saya juga minta Aliff, jadi lelaki sejati. Jangan duduk dan diamkan diri selepas lakukan semua ini. Kau lapor polis dan ada hak untuk hentikan wanita itu. Kenapa kau hilang? Kau buat masalah sana sini kemudian hilang. Kau buat hal dalam negara aku pula.

"Tak perlu cerita isu gam dan sebagainya, selesaikan isu ini sekarang dan berambus," katanya.

Terdahulu, industri hiburan tanah air digegarkan dengan pendedahan Sarah yang membongkar rahsia Aliff dan Ruhainies termasuk dakwaan mereka bercinta, selain dikatakan menggunakan Aliff untuk menjatuhkan Bella.

Pendedahan dibuat Sarah turut mengheret lebih ramai artis termasuk Caprice, Emma Maembong, Chacha Maembong serta pasangan suami isteri, Tom dan Fuad Rahman.

Lebih mengejutkan nama pelakon Meerqeen juga dipetik selepas pelakon itu mengaku hanya mengenalinya sebagai peminat, namun Sarah mengatakan hubungan mereka lebih dari itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 8:36 AM