Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 243 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 219 orang dikenakan tindakan kompaun manakala 24 individu lagi direman.

"Kesalahan tertinggi direkodkan adalah gagal mendaftar masuk premis membabitkan 99 individu manakala 51 individu tidak memakai pelitup muka.

"Kesalahan lain adalah tiada penjarakan fizikal (37), aktiviti pusat hiburan (18) dan lain-lain (38)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 22 pendatang asing tanpa izin ditahan selain tiga kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng.

"Dalam operasi sama, sebanyak 113 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan," katanya.

Beliau berkata, seramai 826 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 689,106 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 35,572 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,231 orang disahkan positif Covid-19 manakala 678,875 lagi negatif. Sehingga kini, sebanyak 1,544 klinik terbabit dalam program saringan ini," katanya.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut membuat 763 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan, semalam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 7:03 PM