GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Tanah Putih Baru, Kuantan, Pahang berkuat kuasa 5 Mei sehingga 18 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan setakat semalam agensi itu merekodkan 11 kes positif daripada keseluruhan 40 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di taman itu.

"KKM juga mengesahkan berlaku penularan kes di lokaliti ini selain terdapat 29 sampel ujian saringan masih menunggu keputusan.

"Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memastikan penduduk Taman Tanah Putih Baru yang berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan dan tidak menjangkiti komuniti di luar dan membolehkan KKM menjalankan pengesanan awal kes disyaki pandemik itu," katanya dalam kenyataan harian hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan dua penamatan PKPD di lima lokaliti di Hulu Besut, Terengganu dan di Maahad Tahfiz Al-Quran Wa Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Machang, Kelantan yang berakhir esok.

"Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di lima lokaliti di Hulu Besut iaitu Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan FELCRA Keruak yang dijadualkan tamat esok.

"Dalam tempoh itu, KKM melakukan 2,468 ujian saringan, 107 daripadanya positif Covid-19.

"KKM memaklumkan trend kes menurun dan kluster adalah terkawal manakala kes terakhir direkodkan pada 20 April lalu iaitu empat kes.

"Semua kes positif dirawat manakala semua kontak rapat tamat tempoh pemantauan selama 14 hari," katanya.

Katanya, selain itu, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD, KKM melakukan 530 ujian saringan dan 315 daripada penghuni di MTAQ, Pulai Chondong disahkan positif pandemik itu.

"KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster terkawal sementara kes terakhir pula direkodkan pada 30 April lalu iaitu 16 kes.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di MTAQ seperti yang dijadualkan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata, seramai 519 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), semalam.

"Daripada jumlah ini, seramai 508 individu dikompaun manakala 11 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah 206 individu gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis, tiada penjarakan fizikal (72), aktiviti pusat hiburan (60), tidak memakai pelitup muka (50) dan lain-lain kesalahan (130)," katanya.

Katanya, dalam Operasi Benteng semalam, pihak berkuasa menahan dua penyeludup dan merampas dua kenderaan darat manakala 175 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 5:45 PM