GAMBAR hiasan. Pusat bandar Tawau. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Pusat bandar Tawau. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Tawau, Sabah bermula esok sehingga 16 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 137 kes aktif dilaporkan membabitkan beberapa kluster di daerah ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi sehingga kini.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di daerah Tawau bermula esok sehingga 16 April.

"Pelaksanaan PKP ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di lokaliti kes positif serta mengawal pergerakan penduduk di daerah ini dan mengekang penularan jangkitan dalam komuniti," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti iaitu dua di Sarawak dan satu di Sabah bermula esok sehingga 16 April.

"KKM hari ini turut melaporkan situasi kes Covid-19 di Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, Sabah.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 290 ujian saringan dan daripada jumlah itu 33 orang didapati positif Covid-19.

"KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh satu minggu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi," katanya.

Menurutnya, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan bagi membolehkan pengesanan awal kes disyaki Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti.

"Selain itu, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Baji, Sarikei, Sarawak selepas berlaku kenaikan kes secara mendadak dalam tempoh lima hari dan sehingga 31 Mac 2021 sebanyak 20 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti ini.

"Malah, atas nasihat KKM juga, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak selepas melaksanakan 43 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak tujuh kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti ini.

"KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh satu minggu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 6:13 PM