GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan kes Covid-19 yang meningkat bermula esok hingga 2 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan.

Menurutnya, sehingga kini, KKM melaksanakan 396 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 43 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD bermula esok sehingga 2 Mei 2021.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terbabit dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik, Felcra Keruak, Hulu Besut, Besut, Terengganu yang dijadualkan tamat pada 20 April ini dilanjutkan sehingga 27 April ini.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 2,038 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 103 kes positif Covid-19 direkodkan.

"KKM melaporkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dan terdapat sebanyak 309 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 6:48 PM