ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO Bernama
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 28 mukim di Kota Setar, Kedah berkuat kuasa Rabu ini sehingga 1 Jun depan berikutan hampir 100 kes sehari Covid-19 direkodkan di daerah itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 975 kes aktif Covid-19 di seluruh daerah Kota Setar dengan enam mukim direkodkan sebagai zon merah iaitu Kota Setar (78 kes), Mergong (223 kes), Pengkalan Kundor (143 kes), Derga (138 kes), Kangkong (55 kes) dan Anak Bukit (61 kes) setakat 16 Mei lalu.

"Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan penularan jangkitan Covid-19 tersebar meluas ke seluruh daerah Kota Setar dalam tempoh lapan hari sahaja iaitu bermula 8 hingga 16 Mei iaitu sebanyak 799 kes positif dikesan.

"Ini menjadikan hampir 100 kes sehari di Kota Setar direkodkan secara purata membabitkan beberapa kluster sedia ada dan kluster baharu iaitu Kluster Dah Putih di daerah ini," katanya dalam kenyataan harian hari ini.

Menurutnya, selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di 28 Mukim di Kota Setar berkuat kuasa Rabu ini selama 14 hari.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan penduduk di daerah ini serta menyekat penularan jangkitan kes Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga melaksanakan PKPD di dua lokaliti di Kelantan iaitu Kampung Pauh Lima, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Banggu, Kota Bharu bermula esok sehingga 1 Jun.

"KKM melaksanakan 227 ujian saringan di kedua-dua lokaliti ini dan 74 daripadanya disahkan positif Covid-19.

"KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh dua minggu iaitu peratusan kes positif adalah 26.62 peratus di Kampung Pauh Lima dan 55.22 peratus di Kampung Pauh Lima, Banggu," katanya.

Selain itu, katanya, PKPD di Taman Tanah Putih Baru, Kuantan, Pahang yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan kepada Rabu ini sehingga 25 Mei.

"KKM melakukan 4,621 ujian saringan dan 326 daripadanya disahkan positif Covid-19.

"KKM juga mengesahkan masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk di lokaliti ini serta terdapat kes baru dan sampel sedang menunggu keputusan," katanya.

Ismail Sabri berkata, situasi sama turut direkodkan di Rumah Panjang Dinggai, Sungai Amut Atas, Pakan, Sarikei, Sarawak apabila kerajaan melanjutkan PKPD sehingga 26 Mei ini.

"Sebanyak 67 ujian saringan dan 16 daripadanya disahkan positif direkodkan dan masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk di lokaliti ini selain ada lagi sampel ujian sedang menunggu keputusan.

"Selain itu juga, kita juga menamatkan PKPD Kampung Meripoh dan Kota Bahagia, Muadzam Shah, Rompin, Pahang yang dijadualkan tamat pada 23 Mei ini selepas terdapat penurunan kes dan kluster terkawal manakala semua kes positif menerima rawatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 6:34 PM