ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat kampung di Terengganu dan Sabah bermula esok hingga 20 April ini.

Kawasan dikenakan PKPD itu adalah Kampung Belaoh, Kampung Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Belaoh Baru dan Kampung Keruak, Mukim Hulu Besut, Terengganu serta Kampung Murni C, Nabawan, Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak, Mukim Hulu Besut, Terengganu.

Menurutnya, sehingga kini, secara kumulatif KKM melaksanakan sebanyak 58 ujian saringan di lokaliti itu dan daripada jumlah itu, enam orang disahkan positif Covid-19.

"KKM mengesahkan berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk di ketiga-tiga kampung itu dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kampung terbabit," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, KKM hari ini turut melaporkan situasi kes Covid-19 di Kampung Murni C, Nabawan, Sabah yang mana sehingga kini sudah melaksanakan 17 ujian saringan dan daripada jumlah itu, enam kes positif Covid-19 direkodkan.

"KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi dan sebab itu kampung ini juga dikenakan PKPD.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:22 PM