Abdul Hamid Bador melihat ruang pameran ketika hadir pada Majlis Pembukaan Dataran Perwira di Muzium Polis Diraja Malaysia. FOTO BERNAMA
Abdul Hamid Bador melihat ruang pameran ketika hadir pada Majlis Pembukaan Dataran Perwira di Muzium Polis Diraja Malaysia. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terletak di Jalan Perdana, di sini, dibuka semula kepada orang ramai sejak awal Februari lalu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pembukaan semula muzium itu dibuat selepas kerja naik taraf bangunannya siap sepenuhnya pada 28 Januari lalu, selepas ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Mac 2020.

Beliau berkata, antara pembaikan pada bangunan utama muzium ialah mengecat semula bangunan dan kerja-kerja menceriakan kawasan Dataran Perwira yang menempatkan monumen keris dan tengkolok, sebagai tanda penghormatan buat pejuang PDRM.

"Idea untuk menaik taraf Dataran Perwira (di hadapan bangunan utama) timbul daripada rasa sayang serta kecintaan tinggi terhadap sejarah dan artifak-artifak PDRM dan saya menzahirkan penghargaan saya kepada pengorbanan pahlawan-pahlawan terdahulu yang gugur.

"Apa yang lebih membanggakan, Dataran Perwira juga terpahat 1,180 nama perwira negara yang gugur dalam mempertahankan tanah air tercinta sewaktu zaman darurat sekitar tahun 1948-1960 dan ketika 1968-1990," katanya.

Abdul Hamid berkata, kereta perisai PDRM yang dipamerkan di muzium berkenaan turut dibaik pulih dan dicat semula dan ditempatkan di kawasan baharu yang berbumbung hasil sumbangan Yayasan Al Bukhary dan dua syarikat lain.

Sejarah Muzium PDRM bermula dengan wujudnya muzium pertama pada 1950-an di bangunan asalnya terletak di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dan dirasmikan pada 9 Januari 1961 oleh Yang di-Pertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra Almarhum Syed Hassan Jamalullail bagi tujuan pembelajaran kepada pelatih-pelatih polis.

Memandangkan fasiliti muzium pada ketika itu tidak dapat lagi menampung jumlah artifak yang semakin meningkat maka cadangan pembinaan Muzium PDRM yang baharu dibuat.

Maka pada 18 Februari 1983, majlis pecah tanah lokasi baharu muzium disempurnakan bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar pada waktu itu di bangunan Mess Vanning, di sini yang kemudiannya dirasmikan pada 24 Julai 1999 oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Muzium berkenaan menyimpan pelbagai artifak, antaranya senjata lama pistol flint-lock buatan British berusia lebih 300 tahun serta duit syiling Portugis berusia lebih 500 tahun.

Terdapat lebih 3,000 artifak seperti senjata, pistol, pedang, anak panah, meriam, kereta perisai, kenderaan pemadam api beroda, rajah, peta, pakai seragam polis zaman dahulu dan pelbagai dokumen yang dirampas dari komunis dan gambar pasukan dipamerkan buat tatapan pengunjung, agar dapat menelusuri jerit perih sejarah perjuangan pasukan keselamatan tertua negara itu.

Muzium PDRM yang terletak di Jalan Perdana di sini, dibuka kepada orang awam setiap hari kecuali hari Isnin mulai 10 pagi hingga 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 5:50 PM