Bangkok: Sebuah muzium di Amerika Syarikat (AS) memulangkan 83 artifak purba kepada Thailand selepas siasatan kerajaan AS mendapati ia adalah harta yang dicuri.

Menteri Kesenian Thailand, Vira Rojpojchanarat berkata, dia dimaklumkan artifak dari Muzium Antarabangsa Mingei di San Diego, California di AS sudah tiba di Muzium Kebangsaan di wilayah Pathum Thani.

Jabatan Seni Halus Thailand memberitahu, artifak itu berasal dari tapak arkeologi di timur laut negara itu terutama di Ban Chiang, Tapak Warisan Dunia Unesco dan berusia 1,500 hingga 5,000 tahun.

Artifak itu terdiri daripada pasu, rantai dan kapak tembaga, manik serta cincin.

Kata Vira, dia mengarahkan jabatan itu membuat pameran barangan purba berkenaan untuk orang awam melihatnya.

Muzium Antarabangsa Mingei pada Mac lalu diarahkan memulangkan semula selepas siasatan mendapati mereka menerima harta kebudayaan yang dicuri.

Semua barangan purba itu disimpan oleh muzium berkenaan selama tujuh tahun.

Muzium itu sebelum ini menafikan melakukan sebarang kesalahan tetapi sejak siasatan berkenaan ia mula mengetatkan prosedur menerima artifak yang diderma.

Peguam Negara AS tidak mengenakan sebarang dakwaan terhadap muzium itu dan kakitangannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 10:33 AM