PANORAMA indah Putrajaya pada waktu malam.
PANORAMA indah Putrajaya pada waktu malam.
GONDOLA yang menanti pengunjung untuk mendapat pengalaman menarik.
GONDOLA yang menanti pengunjung untuk mendapat pengalaman menarik.
RUMAH tradisional Melayu yang terdapat di dalam ladang kelapa sawit di Taman Warisan Pertanian.
RUMAH tradisional Melayu yang terdapat di dalam ladang kelapa sawit di Taman Warisan Pertanian.
MONUMEN Alaf baru punya keunikan tersendiri yang perlu di terokai.
MONUMEN Alaf baru punya keunikan tersendiri yang perlu di terokai.
Oleh Suliati Asri


Walaupun sudah acap kali mengunjunginya, penulis kagum dengan panorama dan destinasi di Putrajaya.

Bangunan pencakar langit yang mempunyai reka bentuk unik dan alam semula jadi yang menarik menjadikan Putrajaya bukan sekadar pusat pentadbiran negara, tetapi destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi jika datang ke ibu kota.

Jom semak beberapa lokasi menarik di Putrajaya.

1. Monumen Alaf baru

Dibina idea mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Ogos 2003, Monumen Alaf baru di Lebuh Ehsan, Presint 2 ini satu mercu tanda yang unik.

Jika dilihat dari sudut atas, semua pelantar pemandangan sebanyak lima aras pada monumen itu kelihatan seperti kelopak bunga raya dan menara di tengah pelantar pula ibarat bahagian te­ngah bunga tropika itu.

Monumen ini dibina menggunakan tiub besi waja dan di bahagian tengahnya ditutup dengan bahan aluminium.

Setiap satu meter bahagian tengah itu mempunyai ukiran yang menggambarkan detik penting sejarah Malaysia.

Pelantar pemandangan itu juga dibina dengan 142 panel kaca dan panel kaca itu diukir dengan gambar serta fakta sejarah Malaysia sejak kurun ke-15 sehingga tahun 2000.

Pada 2020 nanti, perutusan khas yang diletak di dalam kapsul masa akan dibaca. Selain dapat melihat keunikan reka bentuknya dan fakta sejarah yang menghiasi, kawasan lapang berdekatan monumen ini juga memberikan ruang kepada pengunjung beriadah bersama keluarga apatah lagi kedudukan di tepi Tasik Putrajaya.

2. Jambatan Putrajaya

Putrajaya mempunyai lapan jambatan yang berbeza bermula dengan Jambatan Seri Perdana sepanjang 370 meter. Ia sebahagian daripada laluan protokol dan dibina merentasi Tasik Putrajaya.

Reka bentuknya bercirikan Islam dengan lapan kawasan rehat bagi membolehkan pengunjungi menghayati pemandangan sekeliling kawasan tasik termasuk Pejabat Perdana Menteri dan masjid.

Jambatan Putra sepanjang 435 meter menyambungkan Presint Kerajaan ke Presint Pembangunan Bercampur dan menghubungkan Dataran Putra dengan Persiaran Perdana.

Seni binanya diilhamkan daripada reka bentuk Jambatan Khaju di Isfahan, Iran.

Dikategorikan sebagai jambatan istiadat, Seri Gemilang ialah satu mercu tanda di Putrajaya yang menjadi jalan masuk utama ke Pulau Utama dari arah selatan bagi pemandu kenderaan dan pejalan kaki.

Jambatan ini dibina dengan rentangan utama sepanjang 120m dan dua rentangan di kedua hujung sepanjang 60m menjadikan panjang keseluruhan 240m.

Jambatan Seri Wawasan adalah tambatan kabel yang menjadi satu mercu tanda di Putrajaya. Jambatan ini dikategorikan ‘jambatan pengenalan’ Seri Ehsan dan jambatan konkrit dengan kombinasi gantungan kabel dan struktur berikat keluli.

Jambatan lain mempunyai keunikan tersendiri ialah Jambatan Seri Setia, Seri Saujana, Seri Bestari dan Seri Bakti.

3. Muzium Alam Semula Jadi

Muzium Alam Semula Jadi menyimpan pelbagai koleksi daripada pelbagai spesimen flora, fauna dan geologi di Malaysia.

Terletak di Jalan Diplomatik, Presint 15, muzium ini di buka kepada orang ramai pada 1 Februari 2010 bagi mengumpul, menyelidik dan mempamerkan khazanah flora, fauna dan geologi negara.

Muzium itu satu-satunya tempat di negara ini anda boleh melihat spesimen haiwan, tumbuh-tumbuhan, fosil dan mineral di Malaysia dalam satu bumbung.

Muzium itu dibuka setiap hari bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan hanya ditutup pada Aidilfitri dan Aidiladha.

4. Taman Warisan Pertanian

Taman Warisan Pertanian di Presint 16 menonjolkan peranan serta kepentingan pertanian kepada negara.

Di sini anda boleh temui lebih 180 tanaman di dalam dusun selain getah, kelapa sawit, kopi, teh dan koko, nangka, durian, jambu batu, limau bali; tanaman herba dan rempah ratus seperti mas cotek, buah mentega, nam-nam dan binjai.

Anda juga berpeluang melihat aktiviti menoreh getah, membekukan susu getah sehingga mengasapkan getah keping di rumah asap.

6. Persiaran Perdana

Menghimpunkan lima dataran iaitu Dataran Gemilang, Dataran Putrajaya, Dataran Wawasan, Dataran Putra dan Dataran Rakyat, setiap satu memiliki kelebihan masing-masing.

Dataran Gemilang ialah plaza bulat yang menandakan penghujung selatan Persiaran Perdana. Plaza ini mempunyai akses pejalan kaki ke Persiaran Pesisir (Promenade Waterfront) dan sudut pandangan ke arah Empangan Putrajaya

Dataran Putrajaya pula dikelilingi Kompleks Perdana Putrajaya dan Istana Kehakiman.

Dataran Putra dengan bulatan 300 meter dihiasi lampu dan ciri-ciri air memberikan hiasan tengah bagi Presint 1.

Dikelilingi Perdana Putra, Masjid Putra, Jambatan Putra dan persiaran, berbentuk satu persembahan seni bina yang unik.

Dua dataran lain iaitu Dataran Rakyat ialah plaza tidak rasmi yang berkonsep­kan taman seperti aksara manakala Dataran Wawasan adalah plaza pertama yang menandakan hujung utara Persiaran Perdana.

7. Cruise Tasik

Tasik Putrajaya ialah pusat tarikan bandar moden ini dengan keluasan air biru yang bersepadu dengan presint sekelilingnya, ia ciri yang menenangkan dan menyamankan.

Menerusi tasik yang berkeluk-keluk ini, pelawat boleh mengambil pelayaran persiaran untuk melihat keajaiban mercu tanda bandar dan pemandangannya.

Ada dua cara pengangkutan iaitu bot persiaran penumpang atau perahu gondola seperti perahu tradisi Melayu.

Perahu yang terbuka itu mempunyai bentuk yang unik payang dan kolek dengan muatan 4 atau 6 orang, masing-masing dikendalikan seorang pengendali bot.

Pelayaran Persiaran Tasik Putrajaya pula menyediakan ‘Pengalaman Makan Malam dengan Kelainan’ dengan DAUN, iaitu bot mewah persiaran makan malamnya.

DAUN dilengkapi dengan perhiasan tempat makan bertaraf 5 bintang cuma istimewanya tempat ini ialah pemandangannya berubah-ubah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 12:17 PM