PUSAT jualan coklat import.
PUSAT jualan coklat import.
COKLAT berbentuk Hello Kitty.
COKLAT berbentuk Hello Kitty.
PROSES penghasilan coklat.
PROSES penghasilan coklat.
COKLAT dari sudut kesihatan.
COKLAT dari sudut kesihatan.
BIJI koko dikeringkan.
BIJI koko dikeringkan.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Aroma coklat menusuk hidung tatkala melangkah masuk ke bangunan dua tingkat itu.

Sedang mendengar taklimat ringkas, mata terpandang kepingan coklat setinggi lima

meter.

Jika tiada dinding kaca, mahu saja penulis mematahkan kepingan coklat yang dicantum menjadi sebuah replika itu.

Buatannya sangat unik kerana dihasilkan daripada 400 kilogram coklat berbentuk Menara Berkembar Petronas.

Ia hasil kerja tangan dan karya cukup kreatif sepasukan pakar coklat di Muzium Coklat Kota Damansara.

Mohd Mu’az Md Sallehuddin antara individu penting menjayakan misi itu yang mengambil masa tiga bulan.

Berkeluasan kira-kira 5,000 kaki persegi, muzium coklat pertama di Malaysia dan Asia Tenggara ini antara lokasi wajib dilawati.

Bukan saja menyimpan artifak bersejarah, tetapi menghimpunkan pelbagai produk coklat ternama dunia.

Pengalaman itu dirasai penulis ketika menyertai ‘Media Tour’ anjuran Muzium Coklat Kota Damansara, baru-baru ini.

Dengan bantuan Mu’az, setiap seksyen di bangunan itu diterjemahkan dalam gaya santai dan menghiburkan.

Muzium didirikan DR Group Holdings Sdn Bhd yang juga pengeluar coklat tempatan berjenama Danson, Fidani dan Milton itu berkonsep ‘3E’.

Konsep ‘e’ pertama adalah ‘education’ (pembelajaran), kedua ‘experience’ (pengalaman) dan ketiga pula ‘enjoyable’ (keseronokan).

Tidak perlu ke Afrika untuk melihat pokok dan buah koko atau ke Mexico untuk menelusuri sejarah silamnya.

Semuanya terjawab menerusi bahan artifak disajikan pemilik bangunan dalam gaya yang kreatif serta berinformasi.

Pengarah muzium, Mohd Azuan Arshad berkata tempoh 25 tahun terbabit dalam peruncitan coklat mengilhamkan penubuhan muzium itu.

“Dr Group bermula secara perniagaan peruncitan dan berkembang dari satu cawangan ke cawangan lain.

“Melihat potensi yang ada, Pengarah Urusannya, Datuk Dahlan Rashid, menubuhkan kilang coklat dengan gaya inovatif,” katanya.

Usaha ini dilihat langkah kanan kepada syarikat itu untuk berdiri sama tinggi dengan pengeluar coklat yang lain.

“Selalunya peluang untuk mendapatkan coklat import ini hanya di pusat bebas cukai.

“Kalau nak beli coklat, mereka perlu menunjukkan pasport dan barulah dapat harga murah,” katanya.

Katanya, langkah mengkaji bisnes akhirnya menjadi apabila muzium itu dirasmikan Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, pada 1 Januari tahun lalu.

Ia menjadi produk pelancongan negara yang membanggakan apatah lagi muzium ini dinaungi anak tempatan.

Melangkah ke muzium ini katanya membuatkan pengunjung teruja dengan barisan artifak dipertontonkan.

“Dengan bantuan chef atau ‘chocolatier’, pengunjung akan diberi penerangan ringkas mengenai industri koko.

“Afrika menjadi negara pengeluar koko atau nama saintifiknya theobroma cacaomen yang terbesar,” katanya berkongsi konsep ‘education’.

Galeri Education memberi peluang pengunjung meneliti sendiri sejarah coklat yang dipercayai mula diperkenalkan pada era Olmec iaitu antara 1,200 Sebelum Masihi (SM) hingga 300 SM oleh suku kaum purba Mesoamerika di Teluk Mexico.

“Pada zaman dahulu, minuman coklat ini hanya untuk golongan raja, pawang dan pahlawan.

“Malah biji koko dijadikan bahan penting untuk sistem pertukaran barang atau ‘barter’,” katanya.

Menyingkap pada bahagian dapur katanya, satu ruangan khas dibangunkan untuk pertunjukan penghasilan coklat.

“Di sini terdapat bahagian penyalutan dan pengeringan coklat.

“Malah peluang terbuka luas kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat berkaitan pembuatan coklat,” katanya.Chocolate Muzium di Jalan Teknologi 3/5,Taman Sains Selangor 1, Kota Damansara, Selangor itu dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Ahad) secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 10:32 AM