JET pejuang di Muzium Tentera Darat Port Dickson, Negeri Sembilan. FOTO Adzlan Sidek
JET pejuang di Muzium Tentera Darat Port Dickson, Negeri Sembilan. FOTO Adzlan Sidek
Zaitie Satibi

JIKA anda sedang merancang percutian keluarga atau bersama rakan ke Port Dickson, Negeri Sembilan, sudah pasti mencari tempat menarik untuk dilawati. Lazimnya, pantai luas dan udara laut yang segar antara sebab kenapa Port Dickson menjadi destinasi utama warga kota bercuti pada hujung minggu.

Namun, selain mengunjungi beberapa kawasan pantai yang popular dan sering menjadi destinasi pilihan seperti Pantai Teluk Kemang, Pantai Lagun Biru, Pantai Sri Purnama dan Pantai Bagan Pinang, anda juga boleh membuat lawatan ke Muzium Tentera Darat.

Muzium Tentera Darat yang bersebelahan Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) adalah muzium tentera yang terbesar di negara ini dan didirikan untuk memberi peluang kepada orang ramai mempelajari mengenai sejarah perjuangan angkatan tentera kita.

Motosikal termasuk Scrambler yang pernah digunakan oleh Tentera Darat Malaysia.
Motosikal termasuk Scrambler yang pernah digunakan oleh Tentera Darat Malaysia.

Kaya dengan sejarah perjuangan anggota tentera kita, ia dizahirkan menerusi sembilan galeri berbeza yang membawa anda pulang ke zaman penjajahan Portugis hingga ke zaman penjajahan Jepun dan penubuhan Askar Melayu sehingga kepada era Tentera Darat Malaysia (TDM). Di samping itu, anda dapat melihat pameran kereta kebal dan jet pejuang di bahagian luar muzium.

Menggunakan dua bangunan lama Depoh Askar Melayu, ia juga setanding dengan muzium tentera dari luar negara berdasarkan kelengkapan infrastruktur dan bahan pengisian dalam muzium ini. Tujuan penubuhannya juga sebagai usaha untuk meningkatkan taraf profesionalisme warga TDM dengan mengembangkan aspek intelektual, budaya cintakan organisasi dan menghayati sejarahnya.

KERETA perisai yang pernah digunakan TDM.
KERETA perisai yang pernah digunakan TDM.

Antara cerita yang menarik adalah pihak komunis menggunakan tengkorak gajah sebagai peti pos sebagai tempat menyimpan surat untuk memberi maklumat dan berhubung sesama sendiri. Selain itu, Tugu Peringatan Tentera Darat turut dibina bagi memperingati jasa pahlawan yang gugur. Struktur tugu utama melambangkan sempadan negara yang dikelilingi lima anak tugu berukir nama emas lebih 950 wira yang gugur demi mempertahankan kedaulatan negara sejak tertubuhnya TDM. Lima anak tugu juga bermaksud lima teras Rukun Islam, Rukun Negara dan Ikrar Kesatria.

Baru-baru ini, sekumpulan 47 pelajar Diploma Animasi dan Ijazah Sarjana Muda Animasi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mengadakan program melakar di Muzium Tentera Darat bagi melatih keyakinan pelajar untuk melakar secara langsung, di samping memupuk semangat patriotik.

Pelajar menghabiskan masa kira-kira tiga jam untuk melakukan lakaran dengan melukis pelbagai objek ketenteraan yang ada di muzium berkenaan. Antara subjek yang menjadi tumpuan adalah senjata lama, kereta kebal, kereta api, kapal terbang dan beraneka jenis pakaian seragam.

PAMERAN pakaian tentera darat.
PAMERAN pakaian tentera darat.

Ternyata program berkenaan menawarkan banyak pengalaman baru kepada pelajar berikutan rata-ratanya adalah pengunjung yang datang buat kali pertama. Berkunjung ke muzium berkenaan juga membolehkan mereka lebih memahami kaedah melukis secara spontan seterusnya membina keyakinan diri.

Muzium Tentera Darat adalah destinasi bersejarah yang berbaloi untuk dikunjungi apatah lagi jika anda membawa anak bersama berikutan pengunjung tidak dikenakan bayaran. Jika anda memikirkan satu percutian bajet, ingin berjimat tetapi pada masa sama mahu meluangkan masa bersama keluarga, memang muzium ini patut berada dalam perancangan percutian ke Port Dickson.

MUZIUM Tentera Darat dibuka percuma.
MUZIUM Tentera Darat dibuka percuma.

MUZIUM TENTERA DARAT

• Bayaran masuk: Percuma

• Waktu operasi:

• Rabu-Ahad (10 pagi hingga 5 petang)

• Lokasi: Muzium Tentera Darat, Kem Si Rusa, Persiaran Pahlawan, Port Dickson

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 11:33 AM