Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri Yaakob.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Hanya 38 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 30 individu dikompaun manakala lapan individu direman.

"Antara kesalahan direkodkan adalah gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan (17), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (12) dan tidak memakai pelitup muka (7).

"Selain itu, masing-masing satu kes direkodkan bagi kesalahan premis beroperasi lebih masa dan tiada penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 65,159 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP semalam, membabitkan 3,592 pasukan pematuhan.

Berhubung Operasi Benteng (Op Benteng), beliau berkata, seramai 27 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan merampas 11 kenderaan darat.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 117 bot dan kapal asing di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan," katanya.

Sementara itu katanya, seramai 568 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan mereka dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara semalam.

Beliau berkata, secara kumulatifnya sejak 24 Julai 2020, seramai 151,300 individu pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 78 hotel serta 11 Institut Latihan Awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

Tambah beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membuat 727 pemantauan harian ke atas bekalan barangan manakala Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan 22 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 6:18 PM