ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 246 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 234 individu dikompaun manakala 12 individu lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan adalah gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan (94), tidak memakai pelitup muka (55), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (37).

"Kesalahan lain adalah tiada penjarakan fizikal (29), aktiviti pusat hiburan (16), premis beroperasi lebih masa (13), dan lain-lain (2)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pasukan operasi pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 73,659 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP, semalam.

Mengenai Operasi Benteng (Op Benteng), beliau berkata, seramai sembilan pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan merampas dua kenderaan darat.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 106 bot dan kapal asing di perairan negara melalui lima operasi penglihatan.

"Seramai enam orang Pati turut diusir menerusi tiga aktiviti pengusiran," katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, seramai 844 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dan mereka dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

"Saringan wajib pekerja asing yang dilaksanakan semalam menyaksikan seramai 7,516 warga asing menjalani ujian terbabit dan daripada jumlah itu, 68 orang didapati positif Covid-19.

"Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 575,295 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 30,112 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,138 orang disahkan positif Covid-19, manakala 566,157 lagi adalah negatif," katanya.

#kw ingkar, PKP, MKN, Ismail Sabri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 5:46 PM