Ismail Sabri.
Ismail Sabri.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Hanya 54 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan semuanya dikompaun.

"Antara kesalahan direkodkan adalah gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan (21), tidak memakai pelitup muka (17) dan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (6).

"Selain itu, kesalahan lain adalah aktiviti pusat hiburan (5), tiada penjarakan fizikal (3), langgar perintah kuarantin (1) dan memasuki kawasan PKP Diperketatkan (PKPD) tanpa kebenaran (1)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 67,974 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP semalam, membabitkan3,888 pasukan pematuhan.

Berhubung Operasi Benteng (Op Benteng), beliau berkata, seramai 18 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan merampas 11 kenderaan darat.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 131 bot dan kapal asing di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan," katanya.

Sementara itu katanya, seramai 836 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan mereka dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara semalam.

Beliau berkata, secara kumulatifnya sejak 24 Julai 2020, seramai 152,570 individu pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 75 hotel serta sembilan Institut Latihan Awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

Tambah beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membuat 732 pemantauan harian ke atas bekalan barangan manakala Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan 25 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 6:25 PM