Nurul Husna Mahmud


MUSIM rumah terbuka Aidilfitri pastinya tetamu disajikan dengan pelbagai juadah seperti rendang, ketupat dan kuih-muih.

Ditambah pula dengan sajian minuman manis seperti air berperisa, minuman panas termasuk teh tarik, kopi dan coklat antara penghilang dahaga.

Pastinya

sukar menolak untuk menikmati hidangan enak yang menjadi di sajian.

Namun di sebalik keseronokan menikmati juadah rumah terbuka itu, bagi segelintir individu terutama penderita Gastroesophageal Reflux Disease (GERD) atau pedih ulu hati, mereka mudah mengalami gejala penyakit itu.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Pekerjaan dan Perunding Perubatan Kecemasan serta Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun, pesakit GERD lebih mudah mengalami serangan penyakit itu ketika di musim perayaan.

"GERD adalah keadaan di mana jus gaster antaranya mengandungi asid gastrik dalam perut mengalir semula ke dalam esofagus (saluran antara mulut dan perut).

"Antara puncanya adalah masalah otot sfinkter esofagus yang lemah. Apabila asid perut menyentuh esofagus, esofagus akan terhakis dan menyebabkan kesakitan dalam kalangan pesakit yang menghidapinya.

"Ini kerana kelukaan dalaman yang boleh mengakibatkan ulser jika berterusan tidak dirawat," katanya.

Selain perubahan drastik daripada gaya pemakanan terkawal di ketika Ramadan kepada pengambilan makanan berlebihan ketika Syawal, faktor itu didorong pilihan makanan kurang sihat.

"Biasanya di musim perayaan orang sukar untuk kawal pemakanan mereka kerana juadah selalu disajikan seperti rendang, lodeh atau sajian kuih raya itu sendiri mengandungi tinggi lemak, berminyak dan pedas.

"Ini antara sajian boleh memudaratkan pesakit GERD jika pengambilan berlebihan.

"GERD yang membabitkan sistem pencernaan terutama penghasilan jus gastrik perlu 'bekerja' keras kerana perubahan gaya makanan menjelang musim perayaan yang berlebihan," katanya.

Selain itu faktor seperti merokok juga boleh menyumbang kepada gejala GERD atau refluks itu boleh berlaku.

"Pesakit GERD mengalami gejala pedih ulu hati seolah-olah dada terbakar dan perut pedih.

"Biasanya mereka akan muntah dan rasanya masam selain tekak perit kerana jus gastrik melalui permukaan esofagus.

"Lebih serius jika GERD itu tidak dikawal, kemungkinan pesakit mengalami muntah darah apabila jus gastrik menghakis sehingga mengenai saluran darah.

"Perlu segera mendapatkan rawatan lanjut bagi mencegah masalah lebih serius berpunca dari GERD," katanya.

Bagi rawatan GERD, kata Hanafiah, biasanya mereka dibekalkan dengan Mixture Magnesium Trisilicate (MMT) bagi melegakan kesakitan atau gejala GERD.

"Pencegahan masih pilihan terbaik dalam menangani GERD. Kawal pengambilan makanan menjadi punca GERD seperti sajian berlemak, berminyak, pedas dan masam.

"Selain itu minuman mengandungi kafien dan tinggi gula seperti bikarbonat juga perlu dielak.

"Bagi yang merokok disarankan terus amalkan tabiat atau rutin dapat mengurangkan tabiat buruk mereka atau berhenti daripada merokok.

"Kalau gejala GERD berlaku mereka perlu mengambil MMT untuk melegakan kesakitan dialami," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 6:30 AM