GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 305 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 296 individu dikompaun manakala lapan individu direman seorang dijamin.

"Antara kesalahan direkodkan adalah gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan (100), tidak memakai pelitup muka (80), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (48).

"Kesalahan lain adalah tiada penjarakan fizikal (40), aktiviti pusat hiburan (17), premis beroperasi lebih masa (5), keluar rumah tanpa alasan munasabah (3) dan lain-lain (12)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pasukan operasi pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 71,392 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP, semalam.

Mengenai Operasi Benteng (Op Benteng), beliau berkata, seramai 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan merampas dua kenderaan darat.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 129 bot dan kapal asing di perairan negara melalui lima operasi penglihatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, seramai 816 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dan mereka dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

"Saringan wajib pekerja asing yang dilaksanakan semalam menyaksikan seramai 8,824 warga asing menjalani ujian terbabit dan daripada jumlah itu, 36 orang didapati positif Covid-19.

"Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 559,619 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 29,262 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 8,842 orang disahkan positif Covid-19, manakala 550,777 lagi adalah negatif," katanya.

Selain itu, beliau berkata, penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan 42 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan 737 pemantauan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 5:45 PM