- Foto hiasan
- Foto hiasan
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Cinta yang berputik menerusi media sosial pada Februari tahun lalu membawa padah buat seorang ibu tunggal berusia 66 tahun selepas kerugian RM34,040 ditipu sindiket Love Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa sebelum itu berkenalan dengan seorang lelaki bernama Ahmed Hamza menerusi Facebook yang mendakwa menetap di Jerman.

Menurutnya, mereka kemudian berhubung menerusi Whatsapp sebelum mangsa membuat laporan polis pada 17 Mac 2021 kerana ditipu.

Katanya, sepanjang berkenalan suspek memberitahu mahu menghantar bungkusan kepada mangsa serta mempunyai sejumlah wang Euro untuk ditukar kepada Ringgit Malaysia atas alasan mahu menetap di negara ini dan mencari rumah.

Menurutnya, mangsa kemudiannya menerima pesanan ringkas menerusi Whatsapp daripada seorang lelaki mendakwa syarikat kurier memberitahu barangan dikirim suspek mempunyai wang tunai dan meminta mangsa membuat bayaran kos penghantaran.

"Pembayaran itu termasuk duti setem, cukai pendapatan dan bayaran tukaran wang Euro ke Ringgit Malaysia.

"Mangsa yang percaya dengan kata-kata itu membuat 13 kali transaksi bayaran ke tujuh akaun bank berbeza diberikan ejen berkenaan berjumlah RM34,040," katanya.

Menurutnya, selepas bayaran dibuat, ejen berkenaan masih meminta wang tetapi mangsa tidak mengikut arahan selepas berasa ditipu.

Malah katanya, mangsa juga tidak menerima bungkusan dijanjikan oleh suspek dan membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak pada 17 Mac 2021.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Beliau berkata, statistik kes penipuan Afican Scam pada 2020 membabitkan 90 kes dengan nilai kerugian RM2,112,683 sementara 2021 setakat ini sebanyak RM679,800 dengan 15 kes.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta melalui laman sosial agar tidak menjadi mangsa penipuan.

Justeru, orang ramai perlu membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun bank suspek terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan.

Sundra berkata, individu dan orang ramai boleh membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule akaun bank suspek terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 6:35 PM