- Foto hiasan
- Foto hiasan
Nazri Abu Bakar


Melaka: Percaya kononnya anak lelaki ditahan polis kerana terbabit kes dadah menyebabkan seorang peniaga kerugian RM25,000 ditipu penjenayah menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt E. Sundra Rajan berkata, kejadian berlaku apabila mangsa lelaki berusia 61 tahun menerima panggilan telefon kira-kira 11 pagi, Jumaat lalu.

Menurutnya, suspek yang menyamar sebagai anggota polis mengarahkan mangsa membayar sebanyak RM50,000 untuk menyelesaikan kes dadah membabitkan anaknya.

"Mangsa yang berasa risau terhadap anaknya bertindak memasukkan wang berjumlah RM25,000 ke akaun bank diberikan suspek.

"Bagaimanapun mangsa menyedarinya dirinya ditipu selepas menghubungi isterinya untuk memaklumkan perkara berkenaan. Dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya berada di rumah dan berada dalam keadaan selamat," katanya semalam.

Beliau berkata, mangsa kemudian cuba menghubungi semula suspek, namun panggilan berkenaan disekat sebelum membuat laporan polis.

"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai polis atau pihak berkuasa.

Sundra Rajan berkata, pihak polis tidak akan berurusan melalui panggilan telefon dan orang ramai dinasihati menyemak nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau dengan memuat turun aplikasi 'Check Scammer CCID' di Google Play Store.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 5:44 PM