Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Arkitek kerugian RM121,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai dari Mahkamah Langkawi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia 35 tahun sebelum itu menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Mohd Rizuan' pada 1 Mac lalu.

Menurutnya, lelaki yang mendakwa dari Mahkamah Langkawi itu menyatakan mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

"Mangsa menafikan dakwaan itu dan kemudian talian telefon disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai 'Sarjan Farah' dari Balai Polis Langkawi.

"Suspek menawarkan untuk membantu mangsa membuat laporan penafian serta meminta bayaran untuk audit dan siasatan Jabatan Audit Negara bahawa wang milik pengadu bukan wang haram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian menerima panggilan daripada beberapa nombor telefon yang mengarahkannya membuat bayaran ke beberapa akaun bank bagi bayaran audit dan siasatan.

"Mangsa membuat 11 transaksi pemindahan wang yang keseluruhannya berjumlah RM121,000 ke empat akaun bank atas nama individu berlainan antara 1 Mac hingga 12 April lalu.

"Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari ditipu selepas semua nombor telefon yang menghubunginya sebelum ini gagal dihubungi," katanya.

Katanya, mangsa membuat laporan polis, semalam dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai harus tidak mudah panik atau cemas apabila menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali.

"Mereka boleh membuat semakan nombor telefon dan akaun bank suspek melalui 'check scammers CCID' atau menerusi laman web http://semakmule.rmp.gov.my," katanya.

Katanya, orang ramai boleh berhubung dengan CCID Scam Response Center melalui talian 03-26101559 atau CCID Infoline di talian 013-211222 (WhatsApp/SMS) bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes jenayah dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 5:17 PM