Gambar hiasan
Gambar hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Hubungi mangsa dengan menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mendakwa butiran peribadi mangsa dimanipulasi pihak ketiga bagi mendapatkan vaksin.

Itu taktik terbaru sindiket penipuan Macau Scam selepas kerap menyamar sebagai pegawai polis, pegawai kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum ini.

Taktik itu dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, selepas dua mangsa di negeri mengadu kerugian berjumlah RM259,642.

Ketua JSJK negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, sindiket terbabit didakwa menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pegawai KKM.

Katanya, mangsa diberitahu bahawa butiran peribadinya digunakan oleh individu lain untuk pendaftaran penerimaan vaksin.

"Panggilan itu kemudian sambungkan kepada pegawai 'polis' yang akan memaklumkan mangsa terbabit kes pengubahan wang haram.

"Sindiket akan mengarahkan mangsa untuk memberikan segala maklumat akaun bank kononnya bagi tujuan semakan audit. Selepas diberikan akaun bank, nombor pin dan kata laluan perbankan atas talian, wang akan dipindahkan ke akaun suspek," katanya tadi.

Mengulas lanjut katanya, pada 8 April lalu, polis kontinjen Melaka menerima laporan daripada penuntut institusi pengajian tinggi berusia 21 tahun dan suri rumah berusia 60 tahun ditipu membabitkan modus operandi sama.

"Penuntut itu membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam dengan mendakwa kerugian RM12,000 sementara suri rumah terbabit memaklumkan duit simpanannya berjumlah RM247,642 lesap. Laporan dibuat mangsa di Balai Polis Simpang Ampat.

"Katanya kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Sementara itu, Sundra Raja berkata, bagi tahun ini JSJK Melaka menerima 93 laporan penipuan Macau Scam dengan kerugian lebih RM321,543.92.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan panggilan mencurigakan dan menyemak nombor telefon atau nombor akaun yang diberikan suspek melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau memuat turun aplikasi 'Semak Mule CCID' di Play Store sebelum melakukan apa-apa transaksi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 4:53 PM