GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nazri Abu Bakar


Melaka: Hasrat seorang pengusaha katering membuat pinjaman RM20,000 akhirnya membawa padah apabila dia kerugian RM19,618 selepas diperdaya dalam urusan pinjaman menerusi laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, pengusaha wanita berusia 23 tahun dari Masjid Tanah itu pada mulanya melayari satu laman web untuk membuat permohonan pinjaman peribadi pada 29 Januari lalu.

Menurutnya, mangsa berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan berhubung dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Kelvin'.

"Hasil perbincangan, mangsa bersetuju membuat pinjaman peribadi RM20,000 sebelum diarahkan membuat bayaran bagi tujuan duti setem dan kelulusan pinjaman.

"Mangsa yang bersetuju membuat pelbagai pindahan wang berjumlah RM19,618 ke lima akaun bank berbeza bermula pada 31 Januari hingga 5 Februari lalu.

"Selepas pembayaran dibuat, mangsa masih tidak menerima wang pinjaman seperti dijanjikan, malah suspek masih meminta mangsa memasukkan wang sebelum mangsa akhirnya tidak mengikuti arahan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mengesyaki ditipu membuat laporan pada 5 Februari lalu di Balai Polis Masjid Tanah.

Menurutnya, hasil semakan polis melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule serta salah satu nombor akaun bank digunakan, suspek didapati terbabit dengan lapan laporan menggunakan modus operandi sama.

"Kerugian keseluruhan lapan mangsa terbabit mencecah RM71,739.

"Sehubungan itu, orang ramai disarankan membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun bank suspek terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan.

Beliau berkata, bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlaku, orang ramai dinasihatkan supaya membuat pinjaman melalui institusi kewangan berlesen.

Selain itu, katanya, orang ramai boleh membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau dengan memuat turun aplikasi 'CHECK SCAMMERS CCID' di Google PlayStore.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 7:59 PM