MOHD Kamaruddin pada sidang media hari ini.
MOHD Kamaruddin pada sidang media hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 730 laporan diterima membabitkan kerugian lebih RM24 juta direkodkan berkaitan sindiket 'Love Scam' dan 'Parcel Scam' bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, pihaknya menerima 1,535 kes berkaitan sindiket berkenaan dengan jumlah kerugian lebih RM79 juta pada 2019.

"Jumlah kes diterima meningkat pada tahun lalu dengan 1582 kes, namun jumlah kerugian direkodkan mencatatkan penurunan iaitu sebanyak RM58 juta berbanding tahun sebelumnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK, di sini, hari ini.

Mohd Kamaruddin turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan kenalan baru yang mahu menjalinkan hubungan persahabatan atau percintaan di media sosial terutama yang menjanjikan hadiah.

"Kawal kendiri supaya tidak mudah untuk mempercayai orang asing yang baru dikenali dan sentiasa mewujudkan perasaan syak wasangka terhadap individu tidak dikenali.

"Jangan mudah terpedaya dengan panggilan telefon atau mesej kononnya daripada pihak Kastam atau syarikat kurier yang memaklumkan ada menerima parcel yang memerlukan pembayaran dilakukan," katanya.

Mohd Kamaruddin turut meminta orang ramai supaya tidak membenarkan akaun bank digunakan orang lain atau menyerahkan kad ATM kepada pihak lain untuk digunakan bagi apa sahaja urusan.

"Jangan mendedahkan maklumat peribadi perbankan (nombor akaun, nombor pin dan nombor TAC) kepada mana-mana pihak bagi mengelakkan ia disalah guna sebagai keldai akaun.

"Orang ramai digalakkan membuat pengesahan nombor akaun bank dan nombor telefon terlebih dahulu melalui portal http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun bank dan nombor telefon itu pernah terbabit dalam kes penipuan atau tidak sebelum membuat

sebarang transaksi bayaran," katanya.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 atau mesej WhatsApp ke CCID Infoline di talian 013-2111222 untuk menyalurkan maklumat dan aktiviti jenayah komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 5:36 PM