E SUNDRA RAJAN
E SUNDRA RAJAN
Nazri Abu Bakar


Melaka: Seorang subkontraktor kerugian RM40,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, pada 25 Februari mangsa menerima panggilan telefon daripada pihak LHDN Cyberjaya menyatakan dirinya mempunyai tunggakan cukai syarikat selama 15 bulan berjumlah RM38,000.

Menurutnya, mangsa menafikan kerana tidak pernah mendaftar nama atas mana-mana syarikat namun panggilan kemudiannya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis (IPK) Pahang dan bercakap dengan seseorang yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Shahrizal Mansor.

Katanya, mangsa diberitahu terbabit dengan penggubahan wang haram dan kes dadah, kemudiannya panggilan disambungkan kepada seorang lagi pegawai polis' iaitu Datuk Wasir.

"Datuk Wasir memberitahu jika tidak mahu dikenakan waran tangkap, mangsa perlu memberi kerjasama dengan memberikan maklumat akuan untuk tujuan siasatan.

"Mangsa mengikut arahan suspek dengan memberi maklumat akaun dalam masa sama mangsa menerima nombor TAC dan menyerahkan nombor berkenaan kepada Datuk Wasir," katanya.

Sundra Rajan berkata, subkontraktor berusia 33 tahun itu yang curiga membuat semakan akaun bank dan mendapati pindahan wang RM40,000 menerusi akuan berlaku.

Menyedari ditipu mangsa membuat laporan polis pada 27 Februari di Balai Polis Sungai Udang.

Kes di siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Hasil semakan pihak polis melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule ke atas nombor akaun bank digunakan suspek didapati terbabit dengan dua laporan polis menggunakan modus operandi sama.

Sehubungan itu, orang disarankan memuatnaik aplikasi CCID melalui Playstore untuk membuat semakan terhadap nombor telefon dan nombor akaun bank sebelum membuat sebarang urusan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 6:34 PM