KEADAAN parit yang bergelumang dengan minyak akibat perbuatan sebuah kilang kitar semula minyak terpakai di Bukit Minyak yang melakukan pencemaran. FOTO Ihsan JAS Pulau Pinang
KEADAAN parit yang bergelumang dengan minyak akibat perbuatan sebuah kilang kitar semula minyak terpakai di Bukit Minyak yang melakukan pencemaran. FOTO Ihsan JAS Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan 321 kompaun berjumlah RM642,000 ke atas sebuah kilang kitar semula minyak terpakai, di Bukit Minyak, di sini dan menggantung lesen premis berkenaan kerana didapati melakukan pencemaran parit awam.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata tindakan tegas itu diambil selepas pemeriksaan pihaknya di kilang terbabit menemui lapisan minyak di dalam parit awam di kawasan itu.

Katanya, pegawai JAS menjalankan siasatan pada 30 April hingga 1 Mei lalu selepas mendapat maklumat awam berkaitan isu pencemaran bau.

"Pemeriksaan menemui lapisan minyak di dalam parit awam sebelum siasatan lanjut mendapati pencemaran itu berpunca daripada premis berkenaan yang menjalankan aktiviti pemprosesan buangan minyak berhampiran lokasi terbabit.

"Selain itu, pemilik premis juga didapati tidak melakukan penstoran dengan sempurna dan meletakkan buangan-buangan terjadual di kawasan terbuka sehingga menyebabkan berlaku pelepasan ke dalam parit awam.

"Oleh itu, arahan henti operasi serta merta dikeluarkan untuk menjalankan pembersihan awam dan kompaun RM642,000 dikeluarkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, premis itu dikenakan tindakan berikutan gagal mematuhi syarat lesen seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 16, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Tindakan penggantungan lesen pula dibuat mengikut Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977.

"JAS Pulau Pinang memandang serius keperluan pematuhan segala peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan buangan terjadual oleh semua pihak termasuk pengeluar buangan (WG), kontraktor (transporter) dan kemudahan pengolahan buangan terjadual (receiver).

"Sebarang kegagalan akan dikenakan tindakan perundangan yang tegas tanpa sebarang kompromi kerana pencemaran ini bukan sahaja membahayakan alam sekitar, tetapi turut mengancam keselamatan kilang lain serta penduduk sekitar berdekatan," katanya.

Sharifah Zakiah berkata, mana-mana premis yang masih berdegil akan dikenakan tindakan tegas termasuk denda, tindakan mahkamah, penggantungan lesen dan pemberhentian operasi.

"Rondaan berterusan juga akan diteruskan dalam musim perayaan bagi memastikan tiada insiden pencemaran alam sekitar yang disengajakan berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 4:41 PM