ANGGOTA JPS membuat tindakan penahanan operasi kelengkapan terhadap sebuah kilang.
ANGGOTA JPS membuat tindakan penahanan operasi kelengkapan terhadap sebuah kilang.
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Sebuah kilang penapisan minyak makan di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini, diarah menghentikan operasi serta-merta, semalam, selepas didapati melepaskan efluen tanpa rawatan ke dalam longkang.

Jabatan Alam Sekitar (Jas) dalam kenyataannya berkata, tindakan itu diambil susulan aduan orang awam dan kilang terbabit sudah dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan.

Menurut kenyataan itu, tindakan diambil mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan persampelan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa.

"Kilang penapisan minyak makan itu perlu mengambil langkah pembaikan segera bagi memastikan pencemaran yang berlaku dapat diatasi.

"Kilang terbabit turut dikompaun RM10,000 atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Efluen ialah sisa buangan cecair seperti bahan kimia, kumuhan, dan sebagainya dari kilang, atau kumbahan yang mengalir keluar ke dalam sungai atau laut.

Jas turut meminta orang ramai melaporkan sebarang aduan mengenai pencemaran alam sekitar ke talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke [email protected] atau ke portal aduan https://[email protected] untuk membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 2:23 PM