Mesin pemprosesan plastik dalam sebuah kilang. FOTO Ihsan JAS
Mesin pemprosesan plastik dalam sebuah kilang. FOTO Ihsan JAS
Raja Noraina Raja Rahim


DUA kilang iaitu pembuatan perabot dan kitar semula plastik di Senawang disita serta diarah tutup oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan selepas dipercayai menghasilkan pencemaran bau.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, tindakan itu diambil sejurus siasatan dilakukan di kedua-dua kilang berkenaan pada 16 April dan 3 Mei lalu.

Katanya, serbuan pertama dilakukan di sebuah kilang pembuatan perabot yang mempunyai lesen dan mendapati kilang berkenaan melakukan kerja pembakaran serta penghasilan cecair gam.

“Aktiviti terbabit disyaki menjadi punca utama pelepasan bau pelarut dan kimia ke kawasan perumahan berhampiran.

“Berikutan itu, JAS menyita kelengkapan di premis berkenaan mengikut Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Veerapan berkata, JAS turut menyerbu dan menjalankan siasatan di sebuah kilang kitar semula plastik yang mempunyai lesen daripada Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

“Kilang berkenaan mempunyai alat kawalan udara bagi semua mesin yang digunakan.

“Namun kilang itu didapati memproses jenis plastik keras yang mengeluarkan bau kuat. Keupayaan sistem kawalan udara didapati tidak mencukupi.

“Disebabkan itu, JAS mengarahkan kilang berkenaan ditutup. Kilang itu sudah menghentikan operasi sehingga kini bagi meningkatkan alat kawalan udara sedia ada,” katanya.

Katanya, JAS kini dalam proses permohonan perintah larangan mengikut Peraturan 24, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 bagi kedua-dua kes itu.

Beliau turut mengesyorkan supaya industri kitar semula plastik dipantau dan pemasangan kelengkapan kawalan bersesuaian perlu direka bagi memastikan pencemaran bau dapat diatasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 2:50 PM