SHARIFAH Zakiah melihat kontena yang mengandungi bahan buangan kertas yang masuk ke Malaysia tanpa kelulusan di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT). NSTP/ Ihsan JAS Pulau Pinang
SHARIFAH Zakiah melihat kontena yang mengandungi bahan buangan kertas yang masuk ke Malaysia tanpa kelulusan di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT). NSTP/ Ihsan JAS Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan 24 kontena yang mengandungi bahan buangan kertas dari Amerika Syarikat dan Kanada dipulangkan semula ke negara asal.

Arahan itu dikeluarkan selepas pemeriksaan bersama pegawai kanan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), wakil operator pelabuhan serta agensi perkapalan di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, semalam.

Dalam pemeriksaan itu, JAS mendapati lima unit kontena dari Amerika Syarikat dan 19 unit kontena daripada Kanada yang mengandungi bahan buangan kertas di bawah kod HS 4707.10.0000 masuk ke negara ini tanpa mendapat surat kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling Malaysia.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, semakan lanjut mendapati pengimport juga tidak ada fasiliti penerima yang memiliki lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta tiada lesen pengilang daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Kegagalan pengimport untuk mendapatkan kelulusan di premis penerima terlebih dahulu boleh membawa implikasi negatif seperti kemungkinan berlaku pelupusan sampah dan pemprosesan sisa secara haram; pembakaran terbuka serta kacau ganggu lain.

"Proses kitar semula di premis haram boleh menyebabkan isu pencemaran yang serius, memandangkan operasi kitar semula kertas terpakai memerlukan kuantiti air yang banyak sehingga 45 meter padu air bagi setiap satu tan metrik kertas dan akan turut menghasilkan air sisa atau efluen yang banyak serta boleh mencemarkan parit dan sungai jika tidak dirawat terlebih dahulu.

"Mengikut perundangan, efluen perindustrian perlu dirawat terlebih dahulu sehingga mematuhi had piawaian yang ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 sebelum dilepaskan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, pihaknya menyedari terdapat peningkatan kemasukan buangan sisa pepejal yang ketara termasuk buangan kertas sejak negara China mengumumkan larangan mutlak ke atas semua jenis buangan sisa pepejal bermula 1 Januari lalu.

"Awalnya, negara itu menguatkuasakan larangan ke atas buangan plastik (kod HS 39.15) bermula 1 Januari 2017, diikuti dengan pelan yang dinamakan sebagai 'Prohibition of Foreign Garbage Imports: The Reform Plan on Solid Waste Import Management' yang dikuatkuasakan pada 27 Julai 2017 bagi melarang 24 jenis buangan sisa pepejal termasuk buangan plastik.

"Ini menyebabkan pemain industri yang kebiasaannya mengimport buangan ke negara China berpindah operasi ke negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

"Namun, operasi pengimport dan premis penerima sering kali tidak mematuhi peruntukan perundangan negara ini yang ia mendorong kepada isu aduan daripada penduduk setempat terutama berkaitan kacau ganggu atau pencemaran kepada alam sekeliling," katanya.

Beliau berkata, masalah pengimportan itu perlu ditangani dengan serius kerana buangan yang diimport masuk melalui NBCT juga mungkin dibawa ke negeri lain bagi tujuan pemprosesan atau pelupusan secara haram.

"Kerjasama semua pihak amat perlu supaya negara ini tidak menjadi tong sampah dunia.

"Pada masa sama, masyarakat juga diminta meningkatkan usaha pengasingan sampah bagi membekalkan sisa tempatan kepada fasiliti kitar semula sedia ada yang berlesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 2:14 PM