Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad (tengah) menyerahkan plakad tertera nilai sumbangan RM2.71 juta kepada Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali (kanan) bagi menjayakan fasa awal Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) sempena pelancarannya hari ini.  FOTO IhsanPejabat MB Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad (tengah) menyerahkan plakad tertera nilai sumbangan RM2.71 juta kepada Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali (kanan) bagi menjayakan fasa awal Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) sempena pelancarannya hari ini. FOTO IhsanPejabat MB Perak
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Perak melancarkan program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) yang memanfaatkan kira-kira 200,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) negeri itu yang terkesan dengan Covid-19, khususnya calon peperiksaan utama.

Menteri Besarnya, Datuk Saarani Mohamad berkata, program itu merangkumi lima inisiatif iaitu tuisyen dan kelas tambahan; bantuan khas makanan; program latih tubi menjelang peperiksaan; seminar menjawab peperiksaan; dan penyediaan bahan pengajaran interaktif.

Katanya, sasaran utama TCS yang sudah bermula kelmarin adalah membantu pelajar dalam pelajaran mereka terutama 40,642 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dan 37,894 pelajar lain yang menduduki peperiksaan sesi persekolahan tahun ini.

"Turut dibantu adalah 30,320 pelajar tingkatan empat, pelajar tingkatan satu (31,761) dan murid tahun satu (31,742) yang mana Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan menyediakan guru dan tenaga pengajar untuk mengendalikan tuisyen dan kelas tambahan.

"Bagi program tuisyen, ia hanya merangkumi empat subjek kritikal (teras) iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah," katanya dalam sidang media secara maya di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Pengarah Pendidikan negeri, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.7 juta bagi bantuan khas makanan kepada 35,639 calon SPM yang menghadiri sesi persekolahan dan kelas tambahan di sekolah harian dengan setiap calon menerima makanan tengahari bernilai RM5 selama 15 hari sehingga peperiksaan bermula 22 Februari.

"Selain menggunakan dana kerajaan negeri, peruntukan itu turut membabitkan sumbangan daripada syarikat milik kerajaan negeri iaitu Perbadanan Menteri Besar, Lembaga Air Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak," katanya.

Sementara itu, Ahmad Saidi berkata, bantuan khas makanan itu tidak membabitkan calon sekolah berasrama, memandangkan pelajar terbabit sudah menerima subsidi makanan daripada kerajaan Persekutuan.

"Selain itu, program ini akan turut membabitkan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah khususnya dalam aspek pemantauan terhadap kualiti makanan," katanya yang memberitahu program secara tidak langsung membantu pengusaha kantin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 4:31 PM