GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Lenggong: Kerajaan negeri akan membekalkan telefon pintar kepada 20,000 ketua isi rumah golongan B40 di Perak seawal bulan depan, sebagai kesinambungan daripada program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS).

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, pemberian itu bertujuan membantu keluarga miskin yang memerlukan telefon pintar yang dilengkapi aplikasi untuk membantu pembelajaran kanak-kanak.

Beliau berkata, perbincangan antara kerajaan negeri dengan sebuah yayasan mengenai usaha pemberian telefon pintar itu diadakan sejak tiga minggu lalu dan dijangka dimuktamadkan minggu hadapan.

"TCS ini hanya nama program, kita akan buat program motivasi keibubapaan, motivasi pelajar, perkhemahan dalam cuti untuk pelajar.

"Ini hanyalah idea, keputusan muktamad bergantung kepada sesi sumbang saran berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Program Pecutan Akhir-Kelas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Tampan Dalam Talian, di sini, hari ini.

Program anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan dengan kerjasama Pertubuhan Aspirasi dan Pembangunan Integrasi Kebangsaan (Nadi) Sungai Siput itu turut dihadiri Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, walaupun sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula bulan hadapan, kerajaan negeri tetap meneruskan program pemberian alat peranti terbabit di bawah TCS untuk kegunaan jangka panjang.

Mengenai program TCS, Saarani yang juga bekas guru berkata, pihaknya akan membincangkan satu modul khas agar ia lebih menarik dan mencapai sasaran.

TCS dilancar pada 3 Februari lalu khusus untuk pelajar daripada keluarga B40 dan ia merangkumi inisiatif dan bantuan khusus iaitu tuisyen dan kelas tambahan, bantuan khas makanan, program latih tubi menjelang peperiksaan, seminar menjawab soalan peperiksaan serta penyediaan bahan pengajaran berasaskan video interaktif.

Saarani turut menasihatkan calon yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok agar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan hati yang tenang seterusnya mencapai kejayaan yang cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 3:59 PM