Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kerajaan Perak tidak akan menstruktur semula individu yang memegang jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri serta badan berkanun negeri susulan perubahan corak pentadbiran kerajaan campuran negeri pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia kerana Menteri Besar sebelum dan selepas PRU-15 adalah beliau sendiri selain atas dasar berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan individu terbabit.

"Selalunya kalau bertukar ini (individu berjawatan tinggi GLC, badan berkanun) adalah kalau Menteri Besar orang berbeza, tetapi kini Menteri Besar orang yang sama dan saya berpuas hati dengan prestasi ditonjolkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kita.

"Sama ada di PKNPk (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak), MB Inc. (Perbadanan Menteri Besar), Perak SADC (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak), dan LAP (Lembaga Air Perak). Jadi saya akan kekalkan lantikan mereka," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan dana pendidikan kepada Muhammad Azeem Fahmi, pelari pecut negara dan insentif kepada Pasukan Hoki Lelaki Perak di Pejabat Menteri Besar Perak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan negeri, Mohd Zaki Mahyudin dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah.

SAARANI (tengah) menyampaikan sumbangan dana pendidikan kepada Muhammad Azeem di Pejabat Menteri Besar Perak. FOTO L Manimaran
SAARANI (tengah) menyampaikan sumbangan dana pendidikan kepada Muhammad Azeem di Pejabat Menteri Besar Perak. FOTO L Manimaran

Saarani berkata, pengekalan individu berjawatan tertinggi itu juga adalah atas dasar banyak program yang dibina dan dilancarkan bersama termasuk berbentuk penilaian semula bagi tujuan penambahbaikan.

Katanya, semua jawatan itu pada dasarnya dilantik secara kontrak dwi tahunan iaitu setiap dua tahun dan ada antara kontrak yang baru disambung semula pada waktu mendekati PRU-15 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 10:51 AM