GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Ipoh: Berkahwin, tidak berminat belajar dan tiada dokumen antara faktor yang dikenal pasti Kementerian Pendidikan (KPM) yang menyebabkan keciciran dalam kalangan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, faktor lain adalah kemiskinan, masalah keluarga, masalah kesihatan dan disiplin, masalah pengangkutan ke sekolah, berstatus orang kurang upaya (OKU), berasa takut ke sekolah, bekerja dan meninggal dunia.

Bagaimanapun katanya, tidak semua pelajar tercicir daripada mengikuti persekolahan kerana sebahagian besar mereka keluar daripada sistem persekolahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Mereka meneruskan pelajaran di sekolah pondok, sekolah antarabangsa dan belajar di sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM seperti madrasah. Sebilangan kecil pula mengikuti 'Home Schooling' atau mengikut keluarga berhijrah ke luar negara," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ng Shy Ching (PKR-Teja) mengenai kadar keciciran pelajar termasuk Orang Asli di Perak mengikut kategori sekolah rendah dan sekolah menengah dari 2018 hingga 2021 serta faktor utama menyumbang kepada kadar keciciran dan usaha kerajaan negeri dalam menanganinya.

Ahmad Saidi berkata, purata kadar keciciran yang yang direkodkan pada 2018 hingga tahun lalu bagi sekolah rendah di Perak antara 0.03 peratus hingga 0.06 peratus.

Katanya, manakala bagi sekolah menengah pula peratus keciciran murid adalah sekitar 0.7 peratus hingga 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar tahun berkenaan.

"Peratus yang dinyatakan ini adalah merangkumi murid di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan melalui rekod daripada Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

"Bagi peratusan kehadiran dan keciciran Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) di negeri ini merekodkan kehadiran sebanyak 90.15 peratus dan 0.85 peratus keciciran pada 2018, bagi 2020 pula kehadiran pelajar 91.4 peratus dan keciciran 0.72 peratus, manakala untuk tahun lalu merekodkan kehadiran 90.28 peratus dan 0.82 peratus bagi keciciran," katanya.

Beliau berkata, bagi menangani isu keciciran dalam kalangan murid orang asli, beberapa inisiatif dan usaha sudah dijalankan KPM antaranya menyediakan pelbagai bantuan seperti pemberian buku teks secara percuma, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembinaan asrama sekolah supaya semua kanak-kanak dapat bersekolah serta beberapa bantuan lain.

Katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perak juga sentiasa berusaha untuk mengurangkan kadar keciciran dengan mengadakan pelbagai program intervensi.

"Seperti Pelaksanaan Amalan Guru Penyayang, Pemantauan Kaunseling Berfokus, Program Pembangunan Sahsiah Murid, Program Sekolah Berasrama, Program Kunjungan Ke Rumah Pelajar / Ziarah Cakna serta program di bawah Tuisyen Cikgu Saarani (TCS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 12:25 PM