SAARANI pada sidang media selepas majlis penyerahan Sumbangan Kewangan bagi Proram Bantuan Makanan Percuma (Inisitif Program Tuisyern Cikgu Saarani) di Pejabat Menteri Besar Perak. FOTO L. Manimaran
SAARANI pada sidang media selepas majlis penyerahan Sumbangan Kewangan bagi Proram Bantuan Makanan Percuma (Inisitif Program Tuisyern Cikgu Saarani) di Pejabat Menteri Besar Perak. FOTO L. Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kerajaan Perak mengakui wujud kes kecurian atau cubaan meneroka secara haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini khususnya di kawasan Hulu Perak yang kini dikenali dengan perlombongan unsur nadir bumi (REE) lantanid.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata laporan polis sudah dibuat termasuk penerokaan di atas tanah milik persendirian, namun beliau enggan mendedahkan jumlah laporan yang dibuat.

"Kita memang mendapat maklumat terdapat kecenderungan pihak tertentu sama ada di atas tanah individu, dengan menggunakan kepakaran tertentu termasuk menggunakan syarikat tertentu untuk meneroka seperti di kawasan tanaman durian.

"Memandangkan adanya tanda menunjukkan kawasan di Hulu Perak mengandungi REE, ramai yang berminat mengeluarkan nadir itu dengan kaedah tersendiri walaupun ia adalah kesalahan berikutan hasil dalam bumi adalah dimiliki oleh negeri," katanya dalam sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan Kewangan Bagi Program Bantuan Makanan Percuma di bawah inisiatif program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) di ruang legar Pejabat Menteri Besar, di sini hari ini.

Sebanyak RM2.67 juta diterima kerajaan negeri melalui Yayasan Perak daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan yang akan memberi manfaat kepada 26,628 murid luar bandar dari 238 sekolah.

Terdahulu ketika menjawab soalan tambahan dari Mohd Fakhrudin Abd Aziz (PN-Kamunting) menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pagi tadi, Saarani berkata kerajaan Perak sedang bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam meneliti kaedah terbaik mengelakkan daripada berlaku kecurian REE negeri ini.

"Antara usaha dilakukan seperti mengadakan bengkel dalam mewujudkan inisiatif terutama dari sudut perundangan, berikutan kaedah mengekstrak REE adalah mudah dengan menggunakan bahan kimia atau baja tertentu selain menggunakan paip.

"Jika kegiatan mencuri REE tidak dibendung bimbang ada pihak sanggup menebas atau melupuskan tanaman yang mereka sedia usahakan seperti tanaman getah atau sawit.

Katanya lagi, keputusan kerajaan persekutuan yang tidak membenarkan NR-REE dieksport sebelum diproses terlebih dahulu di negara ini dilihat mampu mengekang aktiviti melombong mineral itu secara haram namun perlu wujud mekanisme bagi mengelakkan manipulasi pihak tertentu untuk tetap mengeksport secara mentah.

"Namun ada kemungkinan ada pihak ingin melihat kepada 'loop hole' (kelompongan) yang akan berlaku di pelabuhan dan sebagainya dengan mengisytiharkan bahan itu bukan NR-REE sebaliknya sebagai mineral lain seperti kaolin, bauklay atau bauksit ketika di Pelabuhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 2:56 PM