Noor Hidayah Tanzizi

Bota: Seramai 20,000 pelajar dan murid di Perak akan menerima manfaat kemudahan telefon pintar yang dilengkapi pelan data 10 gigabit (GB) setiap bulan secara percuma selama setahun.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, sebanyak 50,000 sim kad lengkap dengan pelan data 40GB untuk tempoh 60 hari juga akan diberikan kepada pelajar terpilih.

Menurutnya, usaha itu diberikan melalui insiatif Tuisyen Cikgu Saarani hasil sumbangan Yayasan YTL kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan utama dan daripada kelompok B40.

"Secara keseluruhan, seramai 70,000 murid dan pelajar di seluruh Perak yang akan menerima bantuan ini secara berperingkat bermula hari ini.

"Bagi Parlimen Parit sebanyak 200 hingga 500 unit diserahkan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengenal pasti penerima yang benar layak dengan keutamaan diberikan kepada calon peperiksaan awam (utama)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis penyampaian telefon pintar di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad, Syed Abdullah Alhadad dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Saarani berkata, walaupun sesi persekolahan sudah bermula, namun peranti itu masih tetap diperlukan untuk pelajar mengulang kaji kerana mengandungi silibus dan latih tubi pelajaran.

"Mereka boleh mengulang kaji di rumah dengan alat ini dan ia adalah ganti kepada buku latihan. Serahan dilakukan dua fasa dan hari ini adalah yang pertama," katanya.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad (tengah) diringi Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad, Syed Abdullah Alhadad (kiri) menyampaikan telefon kepada pelajar di Pelancaran Penyerahan Telefon Pintar di Dewan Dato Ahmad Hambal, Bota. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad (tengah) diringi Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad, Syed Abdullah Alhadad (kiri) menyampaikan telefon kepada pelajar di Pelancaran Penyerahan Telefon Pintar di Dewan Dato Ahmad Hambal, Bota. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 1:56 PM