GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Samadi Ahmad


Putrajaya: Polis meningkatkan pemantauan terhadap penunggang basikal yang memilih beriadah di pusat pentadbiran kerajaan ini bagi memastikan mereka mematuhi peraturan lalu-lintas.

Ia bagi mengelakkan kemalangan maut yang menimpa seorang penumpang basikal baru-baru ini tidak berulang.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, pihaknya akan menggandakan operasi pemantauan di sekitar pusat kerajaan ini termasuk di kawasan menempatkan bangunan pentadbiran.

Katanya, dalam operasi pemantauan itu, polis tidak mengeluarkan sebarang saman berikutan masih di peringkat memberi pendidikan dan bimbingan kepada pengguna.

"Operasi pemantauan ini susulan kemalangan maut membabitkan seorang penunggang basikal wanita di Jambatan Putrajaya berdekatan Kelab Tasik Putrajaya sebelum ini.

"Pemantauan ini akan diteruskan secara berkala bagi memastikan semua penunggang basikal mematuhi peraturan lalu-lintas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menasihatkan, individu yang menjalankan aktiviti berbasikal memilih lokasi dan masa sesuai seperti di kawasan kurang kenderaan serta bukan waktu puncak.

Mohd Fadzil berkata, pemilik juga perlu memastikan peralatan dan basikal mempunyai ciri keselamatan terutama ketika mengadakan aktiviti pada waktu malam.

Putrajaya sememangnya menjadi pilihan ramai peminat sukan berbasikal yang menunggang di sekitar pusat pentadbiran ini termasuk pada waktu malam.

Ketika kejadian jam 9.40 pagi pada 19 Disember lalu, seorang penunggang basikal maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori di Jambatan Putrajaya yang juga laluan ke Presint 8, Presint 9 dan Presint 10.

Mangsa yang berusia 34 tahun dan dari Subang Jaya, Selangor itu meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Sejak Januari sehingga Oktober tahun ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 137 kes kemalangan membabitkan aktiviti berbasikal di jalan raya.

Daripada jumlah itu, sebanyak 56 kes membabitkan kematian, 18 cedera parah dan 63 cedera ringan.

Penunggang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu-lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 11:14 AM