MUHAMMAD Nursyafiq Abdul Rahman, 31 membetulkan lampu keselamatan sebelum memulakan kayuhan. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
MUHAMMAD Nursyafiq Abdul Rahman, 31 membetulkan lampu keselamatan sebelum memulakan kayuhan. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya : Penguatkuasaan Ops Sikal yang sepatutnya dilaksanakan hari ini terpaksa ditunda pada 2 Februari iaitu selepas Hari Wilayah.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, susulan itu pihaknya akan terus membuat kempen dan nasihat bagi memastikan semua pemilik basikal untuk melengkapkan segala peralatan yang diperlukan.

"Untuk makluman, Ops Sikal untuk memastikan penunggang basikal mematuhi segala peraturan di dalam undang-undang ini akan ditunda selepas Hari Wilayah," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Operasi membabitkan penunggang basikal dijalankan susulan kemalangan maut membabitkan seorang penunggang basikal wanita di Jambatan Putrajaya berdekatan Kelab Tasik Putrajaya pada 19 Disember lalu.

Sebelum ini akhbar melaporkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya akan mengambil tindakan undang-undang mengikut Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kepada pemilik basikal yang tidak memasang brek, lampu hadapan dan loceng.

Pemilik basikal yang gagal melengkapkan semua peralatan itu ketika berbasikal di pusat pentadbiran negara, di sini akan didakwa di mahkamah serta jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM2,000.

Mohd Fadzil dilaporkan berkata menurut statistik kemalangan jalan raya membabitkan basikal di Putrajaya, pihaknya merekodkan enam kes kemalangan jalan raya pada 2019 dan kesemua mereka mengalami cedera ringan, manakala sepanjang 2020, 11 kes direkodkan dengan satu kes kematian.

"Aktiviti berbasikal pada waktu dan tempat yang sesuai adalah sangat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Pengguna basikal dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan lalu lintas jalan raya demi menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 12:41 PM