Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali meninjau  penutupan jalan bedekatan Jambatan Saujana,Presint 7. FOTO SAMADI AHMAD
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali meninjau penutupan jalan bedekatan Jambatan Saujana,Presint 7. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Putrajaya: Polis Putrajaya menambah tiga lagi lokasi sekatan jalan raya di pusat pentadbiran kerajaan di sini bagi memastikan aliran trafik keluar masuk dikawal sepenuhnya dalam tempoh sekatan pergerakan penuh Fasa Pertama.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali, berkata penambahan sekatan jalan raya itu bertujuan memastikan semua kenderaan yang masuk dan keluar ke pusat kerajaan ini melalui pemeriksaan termasuk mereka mempunyai surat kebenaran rentas daerah.

Menurut beliau, penambahan tiga sekatan jalan raya diadakan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) menjadikan jumlahnya 10 operasi sedemikian diwujudkan di sini bagi pemantauan lebih ketat dalam menangani penularan pandemik Covid-19.

Katanya, pada hari pertama sekatan pergerakan penuh semalam polis mengeluarkan empat kompaun masing-masing bernilai RM5,000 yang keseluruhannya berjumlah RM20,000 kerana merentas daerah tanpa surat kebenaran.

"Semalam juga polis mengarahkan 17 kenderaan berpatah balik yang kebanyakannya dari Cyberjaya dan Dengkil serta mengeluarkan 26 saman trafik pelbagai kesalahan," katanya selepas mengadakan pemantauan penutupan jalan berdekatan Jambatan Saujana, Presint 7, di sini, hari ini.

Tiga sekatan jalan raya baharu itu beroperasi di lampu isyarat Jambatan Saujana menghala Lebuh Sentosa; Persiaran Timur menghala keluar ke Desa Pinggiran Putra, Presint 16 dan Lebuh WadiEhsan menghala keluar ke Desa Pinggiran, Bandar Baru Bangi dan Dengkil.

Tujuh sekatan jalan raya sedia ada di pusat pentadbiran kerajaan ini kini beroperasi di Lebuh Sentosa Hala Keluar Ke Mex Highway, Persiaran Selatan Hala Keluar Ke Dengkil (Presint 5), Pintu 2A, Persiaran Utara Hala Keluar Ke Hospital Serdang di Presint 12 dan Pintu 3, Persiaran Utara Hala Keluar Ke Puchong di Presint 9.

Sekatan jalan raya lain membabitkan Jalan Presint 5 menghala keluar dan masuk ke Taman Cabaran dan Dengkil, Jalan Resam Hala keluar dan masuk Presint 11dan Jalan P11J menghala keluar dan masuk Cyberjaya di Presint 11.

Turut ditutup Jalan P14 menghala keluar dan masuk Sungai Merab Bangi di Presint 14, Pintu Satu, hala keluar dan masuk di Presint 14, Jalan P7A, Bulatan Putrajaya Sentral di Presint 7 dan Jalan P5, Menghala ke Dengkil di Presint 5.

Mohd Fadzil berkata, bermula semalam sehingga hari ini seramai 2,376 individu dan 2,010 kenderaan diperiksa membabitkan 196 anggota polis tidak termasuk bantuan dari luar daerah dan Pasukan Sahabat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan (Rela).

Katanya, pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di pejabat kerajaan, bank, pasar raya dan kedai, hari ini mendapati orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Pasukan Pemeriksaan Snap secara bergerak turut digerakkan ke lokasi yang dikenal pasti menjadi laluan tikus termasuk memastikan tiada kenderaan yang berpatah balik dan melawan arus seperti didakwa orang ramai.

"Bagi menjadikan pusat pentadbiran kerajaan ini sebagai contoh terbaik kepada kawasan lain, saya menasihatkan individu yang tidak mempunyai urusan penting dan tidak mempunyai surat kebenaran rentas daerah untuk tidak cuba merentas daerah kerana polis tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 6:18 PM